Tiba-tiba aku mendapati diriku berada dalam sebuah bangunan yang indah di dasar lautan. Aku memejamkan mata, cuba mencari punca bagaimana aku berada di sini. Usahaku gagal, kepalaku semakin sakit. Tanpa banyak pilihan, aku melepaskan "pencarianku".
Tanpa berlengah-lengah, aku berkeputusan untuk meninjau keadaan di dalam bangunan ini. Mungkin aku dapat mencari jalan keluar dari situ atau mengingati semula perkara yang telah berlaku. Fikiran dan jiwaku tenang.
Aku terkejut apabila melihat keindahan bangunan ini, sungguh menakjubkan. Setiap pintu bilik setinggi lima ratus meter dan pintu besar lebih tinggi daripada pintu bilik sebanyak dua kali ganda. Permukaan pintu terukir dengan gambar-gambar unggas yang tidak pernah aku jumpai selama ini. Ukiran unggas itu memberikanku sejenis penghormatan. Tingkap-tingkap bangunan ini seakan-akan diperbuat daripada seketul batu permata yang besar. Yang mengagumkan, permukaan tingkap setebal lima milimeter juga terdapat ukiran bunga.
Setelah meninjau bangunan ini, didapati segala yang terdapat dalam bangunan ini diukir dengan gambar-gambar yang cantik.
Di darat, tak pernah aku melihat ukiran yang begitu unik. Aku mengagumi kemahiran dan pengetahuan tukang ukir yang begitu istimewa.
Selepas beberapa minit memerhatikan ukiran tersebut, aku terdengar bunyi dari belakang. Aku berpaling untuk mengetahui arah punca bunyi tersebut. Aku terpingan-pingan seketika. Bunyi itu datang daripada seorang yang aneh. Rupanya tidak seperti manusia, tetapi seperti seekor ikan. Malah dia mempunyai dua batang kaki dan dua belah tangan. Dia tidak berpakaian. Tubuhnya semacam ikan paus.
"Orang" itu mula bercakap.
"Buu.....ruu.....ru.....ro.....bo....."
Aku hampir ketawa, anehnya percakapan ini. Aku tidak mungkin dapat memahami maksudnya. Aku cuba bercakap untuk memberitahu kepadanya maksudku.
"Aku.....tidak faham......tidak faham....."
Aku melihatnya, mengharapkannya dapat memahami percakapanku. Dia bercakap lagi.
"Ru....boo.....buu......bo."
Dia memegang tanganku dan membawaku ke satu tempat. Setiba di tempat itu, dia memberikan sekeping roti merah kepadaku. "Buu....bu....ru....," dia bersuara lagi. Mungkin dia mahu aku makan roti ini, fikirku. Lalu, aku makan tanpa berfikir panjang.
"Selamat datang. Mulai sekarang cik memahami percakapanku kerana makan roti itu. Aku ialah penghuni di bangunan ini. Ada lagi penghuni yang lain, tetapi sementara ini mereka tidak dapat bertemu dengan cik. Mereka sibuk," dia bercakap dengan begitu lancar.
Aku terpinga, tidak tahu apa yang harus dilakukan.Aku hanya berdiam diri dan cuba mengenali tempat ini. Tidak pernah aku datang ke sini. Tempat ini seperti sebuah makmal.
"Wahai cik, cik ialah tetamu penting bagi kami. Dengan begitu susah, kami telah berjaya menjemput cik ke mari. Cik boleh tanya apa-apa sahaja jika ingin mengetahui."
Aku ialah tetamu penting? Tidak mungkin. Bagaimana aku boleh datang ke sini aku pun tidak tahu. Macam mana aku boleh jadi tetamu penting?
"Siapa engkau? Di mana aku? Bagaimana aku datang ke sini?" Akhirnya, aku bertanya juga.
"Cik, saya JIng Wu. Cik sekarang berada di Istana Long. Cik datang ke sini dengan iringan kakitanganku," jawapnya dengan begitu sopan.
Aku mula mengingat kembali. Pagi itu, aku terjumpa dua orang yang aneh di dalam bilikku. Tanpa bercakap, mereka telah memberikan roti biru kepadaku. Menyuruh aku makan roti itu. Selepas itu, aku telah berada di tempat yang aneh ini. Aku dapat mengingati semula. Aku bersyukur kepada Tuhan.
"Cik, saya akan membawa cik bersiar-siar di dalam Istana Long."
Aku tidak membantah. Tanpa bertanya tujuan jemputan mereka, aku mengikuti Jing Wu. Jing Wu membawaku ke sebuah taman yang besar. Tercengang-cengang seketika.
Dalam lautan juga terdapat burung? Aku tidak dapat mempercayai mataku. Aku memandang JIng Wu tanpa berkelip-kelip. Aku bagai orang bodoh. Banyak perkara tidak dapatku fahami.
"Apa kemahuan cik?"
"Jing Wu, sini lautan, betulkah?"
"Ya, cik."
"Aneh sungguh! Macam mana ada burung yang terbang?"
"Ini tertakdir oleh tuhan, cik."
Aku tidak bertanya lagi. Aku tahu tentu semuanya adalah tertakdir oleh tuhan. Aku bersiar-siar di taman itu.
Terdapat rumput yang berwarna ungu, yang beraneka jenis, kerusi yang diterbalikkan dan angin sedang bertiup. Tiba-tiba aku terpijak sesuatu. Kepingan emas! Aku mula ternampak terdapat beberapa kepingan emas di tempat yang tidak jauh dari situ.
"Maaf, cik. Terdapat penghuni yang tidak menjaga kebersihan sekitar. Sampah-sarap ini akan aku menyuruh penjaga taman bersihkan." Apa? Kepingan emas ialah sampah-sarap? Aku tidak dapat mempercayainya.
Selepas seketika, aku keluar dari taman itu. Jing Wu membawaku ke bilikku. Aku mulai berasa letih.
Di dalam bilik, aku terkejut lagi. Katilku ialah sebuah buku yang besar. Dalam bilik, tidak terdapat benda lain kecuali katil itu.
"Cik, ini bilik cik. Bilik ini disediakan sejak setahun dahulu."
"Jing Wu, aku tidak letih lagi. Bawalah aku ke taman itu," perintahku.
"Baiklah, cik."
Aku kembali ke taman itu. Semua telah berubah. Kedudukan kerusi, pokok dan bunga tidak sama seperti tadi.
"Apa telah terjadi?"
"Tidak ada apa-apa,cik. Cuma arus laut menyebabkan kedudukan tak sama."
Aku duduk di atas sebuah kerusi. Permandangan taman menjadi terpesong.
Burung-burung sedang terbang di 'langit'. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Terdapat rumput, bunga, pokok dan kerusi. Pemandangan taman yang terpesong, semuanya begitu biasa bagi Jing Wu. Bagiku, ini tidak mungkin berlaku di dasar lautan. Tidak mungkin.
Jing Wu memanggilku lagi. Kali ini untuk makan tengah hari. Makanan dihidang, semuanya roti. Ada roti putih, kuning dan hijau. Aku tidak berselera setelah melihat makanan itu.
"Aku tidak ingin makan. Simpankan makanan ini. Aku berehat seketika."
"Baiklah."
Aku menarik nafas panjang, menikmati keadaan sekitar. Tiba-tiba terdatang seekor ikan yu yang besar. Nampaknya ikan itu ingin menjadikan aku sebagai sarapannya. Aku terjatuh dari kerusi lalu melarikan diri. Aku berlari dengan begitu pantas. Ikan yu itu tetap mengekori aku.
Habislah, fikirku.
Dalam saat sebelum ikan yu mendapatkanku, Jing Wu muncul. Dia berjaya membunuh ikan yu itu, kerana ketakutan, aku terpengsan.
"Cik Wong! Cik Wong!"
Ada orang memanggilku. Aku membuka mataku. Ternampak profesor Lim duduk di sisiku. Dia tersenyum apabila melihatku terjaga.
"Bagaimana profesor? Bagaimana dengan penyakitku?"
"Cik Wong, kamu mestilah banyak berehat. Tekanan dari segi kerja telah menjadikan kamu telah menjadikan kamu terlalu inginkan satu tempat yang tersendiri untuk berehat."
Aku turun dari katil lalu berterima kasih kepada profesor Lim. Aku keluar dari bilik dan pergi ke wad untuk membayar bayaran. Tiba-tiba, aku ternampak Jing Wu berada di sisiku.....